Ramadhan Di Bumi Anbiya'

Tuesday, September 1, 2009

Syukur kehadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnia kasih sayang-Nya yang telah mengizinkan aku sekali lagi dapat merasai dan menjalani ibadah bulan Ramadhan di bumi anbiya' Mesir ini. Bagiku Ramadhan yang sedang aku tempuhi ini sedikit sebanyak telah mampu mentarbiyah diriku untuk lebih mendaekatkan diri kepada Yang Maha Pencipta walaupun baru sahaja masuk fatrah kedua bulan Ramadhan iaitu fatrah Keampunan dimana sebelumnya fatrah Rahmah dan selepasnya fatrah Dihindari Dari Api Neraka.

Dikesempatan ini aku ingin berkongsi sedikit sebanyak pengalaman yang aku jalani dan rasai sepanjang berada di Mesir pada bulan Ramadhan Al-Mubarak ini. Aku juga dapat merasakan perbezaan yang begitu ketara antara suasana menyambut Ramadhan di Mesir dan di Malaysia. Masyarakat disini lebih menghargai dan memeriahkan bulan Ramadhan berbanding bulan Syawal(Hari Raya Aidilfitri). Kalau masyarakat kita di Malaysia akan menerangi halaman-halaman rumah dengan lampu dan pelita apabila hampir menjelang Syawal, manakala masyarakat disini sebelum tiba Ramadhan telah berbuat demikian.


Di sini ketika mana solat Tarawih, bilangan makmum yang datang untuk solat Tarawih berjemaah di masjid-masjid akan bertambah dari sehari ke sehari hinggalah ke akhir Ramadhan. Berbeza pula di Malaysia diamana semakin mengakhiri Ramadhan, semakin merosot jumlah makmum yang datang. Ini mungkin disebabkan faktor sibuk membeli-belah untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri dan kurang kesedaran serta kefahaman dikalangan masyarakat kita. Di sini kebiasaannya solat Tarawih berjemaah dilakukan sebanyak lapan rakaat dan menghabiskan satu juzuk lebih semalaman. Namun begitu, jumlah makmum yang datang tetap ramai sehinggakan terpaksa solat di atas jalan raya di luar masjid.


Antara perkara lain yang menarik di dini ialah Maaidatu Ar-Rahman. Maaidatul Ar-Rahman ini ialah majlis berbuka puasa secara percuma yang dianjurkan oleh seseorang individu ataupun jemaah tertentu dan ia dibuka setiap hari sepanjang bulan Ramadhan dimerata-rata tempat di Mesir. Majlis berbuka puasa ini terbuka kepada sesiapa sahaja tidak kira darjat atau pangkat untuk menghadirinya. Majoriti masyarakat yang hadir ialah fakir miskin yang mana golongan ini mungkin hanya dapat merasai makanan-makanan yang enak ketika mana bulan Ramadhan sahaja. Begitu juga dengan segelintir masyarakat Melayu di Mesir yang turut memanafaatkan Maaidatu Ar-Rahman ini untuk berjimat.

Rasulullah s.w.t bersabda : "Wahai manusia! Barangsiapa diantaramu memberi buka kepada orang-orang Mukmin yang berpuasa di bulan ini, maka disisi Allah nilainya sama dengan membebaskan seorang budak dan ia diberi ampunan atas dosa-dosanya yang lalu."


Selain itu, alunan Al-Quran banyak kederangan dimana-mana tempat sama ada di dalam bas, metro, teksi, pasar, dan lain-lain lagi. Membaca Al-Quran di tempat awam sudah menjadi kebiasaan dan bukan suatu kejanggalan bagi masyarakat Mesir. Bahkan orang lain akan turut diam dan menghayati bacaan Al-Quran yang dibaca oleh seseorang individu itu. Bayangkan pula jika situasi ini berlaku di Malaysia, sudah tentu orang sekeliling akan memandang pelik dan menjadi hairan.

Itulah antara sedikit sebanyak perbezaan suasana pada bulan Ramadhan di Mesir dan Malaysia yang dapat aku rasai dan dikongsi bersama. Oleh sebab itulah aku rasa amat bersyukur kerana diizinkan untuk berada di sini pada bulan Ramadhan Al-Kareem ini. Jika aku berada di Malaysia, sudah tentu dipaksa ataupun terpaksa menjadi imam solat Tarawih. Walaupun hasilnya agak berbaloi, tapi dari sudut tadabburnya, ikhlas dari hatiku merasakan adalah lebih baik tidak menjadi imam kerana ianya bukanlah suatu tugas dan tanggungjawab yang ringan. A'la kulli hal, setiap perkara yang berlaku itu ada positif dan negatifnya.

Wallahua'lam.

0 comments:

☼☼☼ FLASH Al-QURAN ☼☼☼
Al-Quran Versi Flash
☼☼☼ ARRAHMAH.COM ☼☼☼
 
Esmaa3 Kalaami © 2009. Template renew and edited by in_saff03.