Hari ini tanggal 17 Ramadhan bersamaan Hari Nuzul Al-Quran Al-Kareem. Ramadhan menghampiri fatrah ketiganya dan semakin meninggalkan kita. Kalau di Malaysia, hari Nuzul Al-Quran ini sangat dinantikan kerana merupakan hari cuti umum bagi rakyatnya tidak kira apa jenis bangsa dan agama. Sekurang-kurangnya, masyarakat kita dapat tahu bahawa hari ini ialah antara hari yang sangat pernting dan bermakna dalam sejarah Islam sehinggakan diiktiraf menjadi cuti umum walaupun ramai lagi yang masih kabur dengan sejarahnya. Secara ringkasnya, Nuzul Al-Quran ini bererti penurunan Al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. Al-Quran ini disimpan oleh Allah di Luh Mahfuz dalam satu bentuk yang mana hanya Allah dan malaikatnya sahaja yang mengtahui. Daripada Luh Mahfuz diturunkan Al-Quran ini ke Baitul Izzah (langit dunia) sekaligus pada malam Lailatul Qadar. Kemudian diturun dan diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril AS secara berperingkat-peringkat selama tempoh 23 tahun.
Sempena kedatangan hari yang agung ini, marilah kita sama-sama memuhasabah diri msaing-masing. Antara persoalan yang patut timbul dikepala kita ialah berapa juzuk Al-Quran yang telah dibaca sepanjang bulan ini ataupun berapa kali kita sudah khatam Al-Quran pada bulan ini? Ini tidak bermakna hanya pada bulan Ramadhan sahaja kita dituntut untuk membaca dan khatam Al-Quran tetapi memandangkan ganjaran yang amat besar di sisi Allah bagi siapa yang membaca dan khatam Al-Quran di bulan Ramadhan ini berbanding pada bulan-bulan yang lain. Sungguhpun pada bulan-bulan selain Ramadhan jika dibaca satu huruf daripada Al-Quran akan diberi sepuluh kali ganjaran, maka lebih-lebih lagilah akan dilipat ganda ganjaran pahala jika Al-Quran dibaca pada bulan ini.
Sabda Rasulullah saw:
مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لَا أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ
“Barangsiapa membaca satu huruf Kitab Allah, maka dia mendapat pahala satu kebaikan sedangkan satu kebaikan dibalas sepuluh kali lipat. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim satu huruf, tetapi Alif, satu huruf dan Lam satu huruf serta Mim satu huruf.”
(HR Tirmidzi)
Sabda Rasulullah saw:
الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ
“Orang yang membaca Al-Qur’an sedangkan dia mahir melakukannya, kelak mendapat tempat di dalam Syurga bersama-sama dengan rasul-rasul yang mulia lagi baik. Sedangkan orang yang membaca Al-Qur’an, tetapi dia tidak mahir, membacanya tertegun-tegun dan nampak agak berat lidahnya (belum lancar), dia akan mendapat dua pahala.”
(HR Bukhari & Muslim)
Sabda Rasulullah saw:
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ اقْرَءُوا الزَّهْرَاوَيْنِ الْبَقَرَةَ وَسُورَةَ آلِ عِمْرَانَ فَإِنَّهُمَا تَأْتِيَانِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَأَنَّهُمَا غَمَامَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا غَيَايَتَانِ أَوْ كَأَنَّهُمَا فِرْقَانِ مِنْ طَيْرٍ صَوَافَّ تُحَاجَّانِ عَنْ أَصْحَابِهِمَا اقْرَءُوا سُورَةَ الْبَقَرَةِ فَإِنَّ أَخْذَهَا بَرَكَةٌ وَتَرْكَهَا حَسْرَةٌ وَلَا تَسْتَطِيعُهَا الْبَطَلَةُ
“Bacalah Al-Qur’an karena dia akan datang pada hari Kiamat sebagai juru syafaat bagi pembacanya. Bacalah ‘Zahrawan” surat al-Baqarah dan Ali Imran, karena keduanya kelak hari kiamat akan datang menyerupai awan atau kumpulan burung yang melebarkan sayapnya yang akan membela orang yang membacanya. Bacalah surat al-Baqarah karena membacanya penuh berkah, meninggalkannya penyesalan dan para tukang sihir tidak akan bisa memperdaya ”
(HR Muslim)
Maka dengan sebab itu, aku menyeru kepada sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekelian agar menggunakan peluang dan kesempatan yang ada ini untuk sama-sama kita mendekatkan diri kita dengan Al-Quran agar dapat menjadi syafaat dan pertolongan pada hari akhirat kelak. Lawanlah hawa nafsu malasmu untuk membaca Qalam Allah ini paling kurang pun satu juzuk sehari. Diriwayatkan oleh Imam Dzahabi bahawa Ibnu Mas'ud biasanya mengkhatamkan Al-Quran dari hari Jumaat hingga ke hari Jumaat berikutnya manakala pada bulan Ramadhan beliau mengkhatamkan Al-Quran tiga hari sekali. Sa'id bin Jubar dan Aswab bin Yazid mengkhatamkan Al-Quran dua hari sekali. Rabi' bin Sulaiman berkata bahawa Imam Syafi'i biasanya mengkhatamkan Al-Quran sebanyak 60 kali pada bulan Ramadhan. Masya Allah.
Semoga apa yang kita baca ini dapat menjadi motivasi kepada kita untuk memperbanyakkan membaca Al-Quran Al-Kareem pada bulan Ramadhan Al-Mubarak ini dan juga pada bulan-bulan yang lain.
Wallahua'lam.
0 comments:
Post a Comment