Perbanyakkan Amalan Sedekah

Thursday, September 3, 2009

Hari ini merupakan hari yang ke-13 Umat Islam seluruh dunia berpuasa. Sejauh mana Ramadhan kali ini mampu mentarbiyah kita, bergantung kepada cara masing-msing membuat pengisian sehingga hari yang ke-13 Ramadhan ini. Sekiranya hasil yang kita perolehi adalah positif, maka bersyukurlah kita kepada Allah s.wt kerana digolongkan dalam golongan orang-orang yang bertaqwa seperti mana Firman Allah s.w.t :

"Wahai orang-orang beriman telah difardhukan ke atas kamu ibadah puasa sepertimana
telah difardhukan ke atas kaum-kaum sebelum kamu moga-moga kamu bertaqwa."

Dalam satu hadis Rasulullah ada bersabda yang bermaksud :

"Siapa yang memperbaiki akhlaknya pada bulan ini,
ia akan berhasil melewati siroth pada hari ketika kaki-kaki tergelincir.
"

Namun sekiranya tiada perubahan lansung yang berlaku pada diri kita, hendaklah kita bersegera memohon keampunan daripada-Nya kerana dibimbangi telah tertutup hati-hati kita akibat daripada dosa-dosa yang telah kita lakukan dan berdoalah kepada-Nya supaya dibuka kembali hati-hati kita agar dapat masuk nur dan hidayah ke dalamnya. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :

"Celakalah orang yang tidak mendapat keampunan Allah di bulan yang agung ini (Ramadhan).
Kenanglah dengan rasa lapar dan haus mu, kelaparan dan kehausan dihari kiamat.
Bersedekahlah kepada kaum fakir dan miskin."

Daripada hadis ini juga Rasulullah menyeru kita agar memperbanyakkan amalan sedekah terutamanya kepada golongan fakir dan miskin. Antara hikmah disyariatkan puasa ini adalah untuk kita dapat merasai penderitaan orang-orang fakir dan miskin yang mana golongan ini bukan selalu beroleh makanan dan ada dikalangan mereka sampai beberapa hari tidak dapat makan. Maka dengan itulah amalan bersedekah ini amat dituntut agar beban dan penderitaan golongan fakir dan miskin ini dapat berkurang. Sekurang-kurangnya mereka dapat merasai sedikit sebanyak nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita di dunia ini disamping kita mendapat pahala dan ganjaran yang amat besar disisi Allah dengan syarat ikhlas keranaNya.

Aku terpanggil untuk menulis karangan ini adalah disebabkan peristiwa yang berlaku kepada diriku dua hari yang lalu. Izinkan aku untuk bercerita dalam loghat Terengganu agar menjadi lebih mudah.*** Satu hari tu, ada seorang arab mari ketuk pintu rumah aku. Mula-mula aku x berani gak nak buka sebab aku takut tuan rumah aku (Salim) mari kutip duit sewa rumah untuk bulan 9. Aku bukan tak boh bayar, tapi masa tu aku ada 20 genih je skeping. Tapi bila aku dengar molek cara dia ketuk pintu tu, aku rasa org lain (bukan Salim). Aku pun buka gok lah pintu tu. Ternampaklah aku seorang wanita arab berdiri depan pintu rumah aku dan dia meminta apa-apa saja yang boleh aku berikan kepadanya (kebiasaannya duit yang dimaksudkan). Aku pun kabo lah ke dia yang aku tak dok pitih nk bagi ke dia. Padahal boleh je aku bagi ke dia segenih dua, dokpun aku bahang je duit dapur. Aku pun tutup pintu dan terus gi kat komputer. Aku pun x tahu macam mana aku boleh terdetik nk buka satu folder ni. Dalam folder tu ada text document tazkirah pasal sedekah. Aku pun baca. Tiba-tiba aku rasa mcm nyesal je x bagi duit ke wanita arab tadi sbb kalu nk diikutkan bukannya aku dok mampu stakat nk wi segenih dua tu. Mcm2 lah perkara yg bermain dalam kepala otak aku. Aku pun try buka laci kot2 ada jupe duit syiling lebih2. Sedor2 ada sungguh, banyak pulak tu. Kejut gok aku. Aku pun x mikir banyak terus gi cari smula wanita arab tadi. Alhamdulillah, ditakdirkan aku jupe smula nga dia. Aku pun bagi lah duit tu ke dia. (biasanya org arab ni kalu kita sedekah atau bagi sesuatu, diaorang akan ucapkan doa utk kita). Lepas tu, aku pun x tahula bakpe mata aku rasa mcm nk ngalir air mata je. Tapi memang aku rasa tenang sungguh lepas tu. Maka sebab itulah aku terdetik hati untuk menulis berkaitan dengan sedekah kali ini.***

Ingin aku mengambil kesempatan ini untuk berpesan kepada sahabat-sahabat sekelian agar janganlah kita rasa rugi untuk bersedekah walaupun kadang-kadang asyik orang sama yang meminta sedekah. Di sini, aku juga ada mendatangkan beberapa buah cerita yang berkaitan dengan hikmah dan kelebihan bersedekah. Moga-moga dapat menjadi iktibar dan memberi keinsafan agar sentiasa 'ringan hati' untuk menghulurkan sedekah kepada golongan-golongan yang memerlukan.


1) Sepotong Roti, Pengemis dan Serigala

Diriwayatkan bahawa pernah suatu musim kemarau menimpa Bani Israil dalam beberapa tahun yang berterusan. Ada seorang perempuan memiliki sepotong roti. Diletakkannya roti itu pada mulutnya untuk dimakannya. Tiba-tiba datang seorang pengemis di depan pintu dan berkata, “Berilah aku kerana Allah, sepotong roti sahaja.”
Perempuan itu mengeluarkan roti itu dari mulutnya dan diserahkannya kepada pengemis itu. Kemudian ia keluar ke padang belantara untuk mencari kayu.
Dia mempunyai seorang anak kecil yang turut dibawanya bersama. Tiba-tiba datang seekor serigala dan menangkap anak kecil itu serta membawanya lari. Terdengar suara jeritan. Bersegeralah perempuan itu mencari jejak serigala. Lalu Allah SWT mengutus Malaikat Jibril a.s dan mengeluarkan anak itu dari mulut serigala. Diserahkannya anak itu pada ibunya seraya berkata padanya, “Hai perempuan hamba Allah, puaskah engkau sesuap roti diganti dengan keselamatan anak?”

Perempuan itu menjawab, “Ya.”

Terdengar suara mengatakan, “Demikianlah balasan kepada orang-orang yang mengasihani orang-orang miskin dan kelaparan. Kami selamatkan dan kami pelihara sebagai balasan bagi orang yang berbuat baik.”



2) Seekor Helang, Nabi Sulaiman dan Pemilik Pemohon

Ada seekor helang datang menghadap kepada Nabi Sulaiman a.s bin Dawud a.s. Berkatalah helang itu, “Wahai Nabi Allah, ada seorang lelaki yang memiliki sebatang pohon dan aku mengerami telurku di atas pohon itu. Tetapi dia mengangkat anak-anakku, lalu dibawanya pulang.”

Nabi Sulaiman a.s memanggil lelaki pemilik pohon dan melarang perbuatan itu. Berkatalah Nabi Sulaiman a.s kepada dua syaitan: “Aku memerintahkan engkau berdua, jika datang tahun depan dan lelaki itu mengambil anak dari burung ini, maka tangkaplah dia dan belahlah dia menjadi dua bahagian. Lalu lemparkan sebahagian di dunia timur dan sebahagian lagi di sebelah barat.”

Ketika datang tahun itu, pemilik pohon lupa pesan Nabi Sulaiman a.s dan dia hendak memanjat pohon. Tetapi sebelum memanjat, dia sempat bersedekah dengan sesuap makanan. Lalu diangkatnya anak burung itu dan di bawanya pulang. Burung helang datang menghadap kepada Nabi Sulaiman a.s dan melaporkan perbuatan pemilik pohon. Nabi Sulaiman a.s memanggil dua syaitan dan bermaksud menghukum kedua-duanya. Nabi Sulaiman a.s berkata: “Mengapa kamu berdua tidak melaksanakan tugas yang aku perintahkan?”

Mereka menjawab: “Wahai Khalifah Allah, sesungguhnya pemilik pohon ketika hendak memanjat pohon itu kami bermaksud menangkapnya. Tetapi kerana dia telah bersedekah kepada seorang lelaki muslim dengan sepotong roti, maka Allah mengutus dua malaikat dari langit, sehingga mereka menangkap kami berdua dan melemparkan kami. Seorang dari kami dilemparkan ke dunia timur dan yang lain dilempar ke dunia barat dan dihalangilah usaha kami untuk mencelakakannya disebabkan sedekahnya.



3) Gara-gara Bubur Kental

Diriwayatkan bahawa Junaid Al-Baghdadi setelah wafat, kedudukannya digantikan oleh seorang lelaki yang bernama Muhammad Al-Hariri. Dia telah bermukim di Makkah setahun dengan tidak pernah berbuka (selalu berpuasa) dan tidak tidur, tidak menyandarkan punggungnya pada dinding dan tidak pernah menjulurkan kedua kakinya.
Setelah umurnya mencapai enam puluh tahun dia duduk pada maqam wali Quthub. Maka ada orang bertanya kepadanya, “Keajaiban manakah yang pernah engkau lihat?”

Dia menjawab, “Ketika aku sedang duduk di sebuah sudut, tiba-tiba seorang pemuda datang masuk dengan tidak bertudung kepala, tidak beralas kaki, rambutnya kusut dan wajahnya pucat. Dia mengambil air wuduk dan mengerjakan solat dua rakaat. Kemudian menyembunyikan kepalanya ke dalam kerah bajunya hingga tiba waktu Maghrib. Lalu dia mengerjakan solat Maghrib bersama kami. Kemudian menyembunyikan kepalanya lagi ke dalam kerah bajunya.

Secara kebetulan pada malam itu ada jemputan dari Khalifah Baghdad untuk orang-orang sufi supaya memberikan nasihat, maka kami bermaksud keluar untuk memenuhi jemputan itu. Aku berkata pada pemuda fakir itu, “Hai seorang fakir, apakah engkau mahu keluar bersama kami untuk memenuhi jemputan Khalifah?”

Dia menjawab, “Aku tidak mempunyai keperluan dengan Khalifah. Tetapi aku hanya menginginkan engkau membawakan bubur kental untukku.”

Berkatalah aku dalam hati, “Dia tidak sependapat dengan aku untuk memenuhi undangan dan dia hanya ingin sesuatu dariku. Lalu aku meninggalkannya dan datang di majlis Khalifah. Kemudian aku datang lagi di sudut tempatku yang biasa. Aku melihat pemuda itu seolah-olah dia sedang tidur. Maka aku pun tidur. Dalam tidur itu aku bermimpi melihat Rasulullah SAW bersama dua orang tua yang bersinar wajahnya, sedang di belakang baginda ada serombongan besar yang bersinar seluruh wajahnya.

Ada orang mengatakan kepadaku, “Ini adalah Rasulullah, di sebelah kanannya adalah Nabi Ibrahim Khalilullah dan di sebelah kirinya adalah Nabi Musa Kalimullah. Sedang rombongan di belakangnya adalah seratus dua puluh empat ribu Nabi salawatullaahi ‘alaihim ajma’in.”

Menghadaplah aku kepada Rasulullah SAW untuk mencium tangannya, tetapi baginda memalingkan wajahnya dariku. Kemudian aku berbuat demikian untuk kedua dan ketiga kalinya dan baginda tetap memalingkan wajahnya dariku. Bertanyalah aku, “Ya Rasulullah, kesalahan apakah yang aku lakukan? Mengapa engkau memalingkan wajahmu dariku?”

Baginda memandangku dengan wajah yang memerah seperti yaqut merah kerana mulianya. Baginda bersabda, “Ada seorang fakir dari orang-orang fakir kami menginginkan bubur kental darimu, tetapi engkau kikir dan engkau biarkan dia dalam keadaan lapar pada malam ini.”

Terbangunlah aku dengan ketakutan dan gementar seluruh persendianku. Lelaki muda itu telah pergi dan aku tidak dapat menjumpainya di tempatnya yang biasa. Maka aku pun keluar dan tiba-tiba aku melihat pemuda itu sedang bersiap sedia hendak pergi. Aku berkata, “Hai pemuda, demi Allah yang telah menciptakan engkau, bangunlah sesaat hingga aku datang kepadamu dengan bubur kental.”

Tetapi pemuda itu memandangku dengan tersenyum. Dia berkata, “Hai Syeikh, siapa yang menginginkan sesuap bubur kental dari engkau? Lalu bagaimana engkau dapat bertemu dengan seratus dua puluh empat ribu Nabi yang datang kepadamu dengan memberikan syafaat untuk sesuap bubur kental?” Dia berkata begitu lalu menghilang.

Waallahua'lam.

*Dipetik Dari Buku: 3003 Memori - Kumpulan Cerita Ajaib, Aneh & Mencuit Hati

0 comments:

☼☼☼ FLASH Al-QURAN ☼☼☼
Al-Quran Versi Flash
☼☼☼ ARRAHMAH.COM ☼☼☼
 
Esmaa3 Kalaami © 2009. Template renew and edited by in_saff03.